Thursday, September 12, 2019


Resipi mudah PIZZA menggunakan KUALI AJAIB




Assalamualaikum....

Kebanyakan anak-anak zaman sekarang amat suka makan makanan segera seperti pizza. Di Malaysia sendiri terdapat pelbagai restoran pizza yang muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Bagi saya pula lebih suka buat pizza sendiri di rumah. Lebih terjamin dari segi penyediaan bahan-bahan dan kebersihan proses pembuatan pizza tersebut kannn..

So hari ni saya terlebih rajin nak berkongsi resepi mudah untuk buat pizza menggunakan kuali ajaib. Saya pasti ramai ibu-ibu memiliki kuali ajaib di rumah kan?? Jadi kali ni bolehlah memanfaatkan penggunaan kuali ajaib yang ada tu ye.

Ok jom kita jenguk resepi mudah dan ringkas di bawah. Adunan ni boleh dapat 2 biji pizza.







Bahan-bahannya:

Untuk Doh:

1. 320 gram Tepung Gandum
2. 1 1/2 sudu besar Mauripan 
3. 2 sudu besar Susu Pekat Manis
4. 1 sudu besar Gula Pasir
5. 2 sudu besar Planta 
6. 1 cawan Air Suam 
7. sedikit Garam 

Untuk Topping Pizza:

1. Sos 
2. Mozzarella Cheese
3. Sosej (grill terlebih dahulu bersama planta)
4. Bawang Holland
5. Capsicum 
6. Mayonis (kalau suka)
7. Oregano 


Cara-caranya: 

1. Ambil secawan air suam dan masukkan susu pekat manis, gula serta garam dan kacau sehingga larut. Kemudian masukkan mauripan. Biarkan beberapa minit sehingga mauripan nampak berbuih. Jangan terlalu lama ye.

2. Sediakan bekas untuk adunan dan ambil tepung gandum lalu dimasukkan planta. Gaul tepung dan planta sehingga sebati. Kemudian boleh masukkan mauripan yang telah direndam bersama air suam. Keluarkan mauripan yang terapung di bahagian atas dan masukkan ke dalam tepung tersebut. Masukkan bancuhan air suam tadi sedikit demi sedikit agar doh tidak terlalu lembik. Teruskan menguli sehingga doh tidak melekat di tangan. 




3. Apabila doh siap diuli, bolehlah dibahagikan dua seperti gambar di atas. Untuk setiap adunan ni akan dapat 2 biji pizza. Kemudian perap adunan ni dalam 10 minit untuk bagi doh mengembang dengan jayanya sebelum dibakar ye. Pastikan tutup bekas doh agar tidak masuk angin dan keras. 

4. Setelah doh kembang, ratakan doh di dalam kuali ajaib yang telah di sapu sedikit planta agar pizza tak melekat. Terpulang pada anda nak ratakan atas permukaan yang bergaris atau rata di dalam kuali ajaib ikut selera masing-masing. 




5. Apabila siap meratakan doh, sapukan sos pada permukaan doh tersebut menggunakan sudu. Susun sosej mengikut kreativiti masing-masing. Taburkan mozzarella cheese di atas sosej. Kemudian susun bawang holland dan capsicum. Di bahagian atas pula taburkan mozzarella cheese sekali lagi. Lagi banyak lagi sedap dan cair meleleh atas pizza tu. Kalau suka boleh picitkan mayonis sebelum tabur cheese yang last tadi ye. Akhir sekali taburkan oregano atas pizza sebelum mula dibakar. 

6. Bila nak bakar pizza tu pastikan api dapur gas tu yang paling kecil sekali. Kalau rasa2 kuali dan api dapur tu terlalu dekat, boleh tinggikan sikit kedudukan kuali dan api dapur agar pizza tak hangit. Jangan cakap saya tak bagitau ye..hehehee
Tempoh membakar tu lebih kurang 5-7 minit atau sehingga bawah pizza nampak kuning keemasan. Buka kuali ajaib dan rajin-rajin cek bawah pizza ye. 

Nak bagitau pasal topping ni tak semestinya ikut bulat2 apa yang saya tunjuk je. Boleh jugak letak daging atau ayam cincang yang telah dimasak ikut citarasa anda. Nak letak tuna ke, ayam rendang ke atau apa-apa je la yang sedap di tekak masing-masing.

Satu lagi, kalau nak bakar dalam oven pun boleh jugak. Suhu 180 darjah celsius mengikut kepanasan oven masing-masing jugak tau. Boleh bakar dalam 20-25 minit pastikan sentiasa cek pizza tu ye takut nanti rentung pulak..
.
.
.
.
.


Tadaaaaaaa!!! Dah siap PIZZA KUALI AJAIB 
.
.
.
.
.
SELAMAT MENCUBA!!!





No comments:

Post a Comment